Kedustaan Atas Nama Allah SWT

“Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebahagian daripada Al Kitab, padahal ia bukan daripada Al Kitab dan mereka mengatakan: "Ia (yang dibaca itu datang) daripada sisi Allah", padahal ia bukan daripada sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.”[Q.S. Ali Imran : 78]

Pada ayat yang terdahulu telah diterangkan tentang sikap segolongan Ahlul-Kitab yang tidak segan-segan menukar perjanjian dengan Allah bahkan bersumpah atas nama Allah demi untuk menyampaikan kehendak hawa nafsu di dunia ini. Maka mereka itu menerima berbagai balasan buruk yang dahsyat di akhirat kelak.

Selanjutnya Allah menerangkan pula tentang bentuk atau cara yang mereka tempuh dalam penukaran perjanjian; iaitu merubah kandungan kebenaran yang terdapat dalam Kitab Suci mereka.

Allah berfirman: “Sesungguhnya di antara mereka ada segolongan yang memutar-mutar lidahnya membaca Al Kitab, supaya kamu menyangka yang dibacanya itu sebahagian daripada Al Kitab, padahal ia bukan daripada Al Kitab dan mereka mengatakan: "Ia (yang dibaca itu datang) daripada sisi Allah", padahal ia bukan daripada sisi Allah. Mereka berkata dusta terhadap Allah, sedang mereka mengetahui.”[Q.S. Ali Imran : 78]

Ayat ini menerangkan bahawa segolongan Ahlul-Kitab “memutar-mutar lidah dalam membaca Al-Kitab”, maksudnya merubah (lafaz) yang terdapat dalam Al-Kitab ketika membacanya atau membacanya dengan benar tetapi merubah makna yang dikandung oleh perkataan tersebut. Merubah perkataan yang dibaca adalah seperti mereka menyebut kata “hiththah” dengan “hinthah”, iaitu menukar huruf ‘tha’ dengan huruf ‘nun’ yang sudah pasti akan merubah makna pula. “Hiththah” maknanya ampunan dosa sedangkan “hinthah” maknanya adalah gandum (rujuk semula Surah Al-Baqoroh: 58)

Adapun tentang merubah makna yang dikandung adalah seperti perkataan mereka ketika memanggil Rasulullah dengan perkataan “raa’ina” yang mana biasa diucapkan oleh para sahabat kepada Baginda. Mereka mengucapkannya dengan makna yang lain dan berbeza daripada makna yang difahami oleh para sahabat; mereka mengucapkannya dengan makna ‘wahai yang bodoh’ padahal makna sebenarnya adalah ‘peliharalah atau perhatikanlah kami’. Mereka merubah maknanya dengan tujuan menghina dan mengkeji Rasulullah yang sangat dimuliakan dan diagongkan oleh para sahabat. (Sila rujuk Surah Al-Baqoroh ayat 104)

Jadi makna “memutar lidah” adalah merubah daripada kebenaran kepada kebatilan, atau daripada lurus kepada bengkok, atau daripada baik kepada buruk. Lantas, apakah tujuan yang ingin mereka harapkan daripada perbuatan yang tercela itu? Didalam ayat ini pula disebutkan bahawa tujuannya adalah supaya manusia menyangka bahawa yang merekasebut itulah yang benar. Bererti tujuannya adalah untuk menutupi kebenaran yang sudah ada. Mereka mengetahui kebenaran tersebut tetapi mereka tak ingin orang lain atau manusia ramai mengetahuinya pula.

Apakah kebenaran yang mereka sembunyikan itu? Para ulama tafsir dalam menerangkan ayat ini menjelaskan bahawa kebenaran yang ingin mereka sembunyikan adalah sifat-sifat sebenar Rasul yang terakhir ; iaitu nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang dijanjikan kepada mereka untuk menyelamatkan umat manusia. Maka mereka menulis kitab yang baru yang akan disampaikan kepada manusia yang kandungannya sungguh berbeza dengan kitab yang ada pada mereka. Kemudian mereka mengatakan bahawa yang mereka baca daripada kitab yang baru itulah yang datang daripada sisi Allah padahal ia bukanlah yang datang daripada sisi Allah.

Mengapa mereka berani berdusta sedemikian rupa? Jawapannya adalah kerana mereka dengki kepada kebenaran, atau kerana kepentingan dunia yang ingin mereka capai seperti yang diterangkan pada ayat-ayat yang terdahulu. Mereka melakukan apa sahaja cara untuk mencapai tujuan meskipun berdusta atas nama Allah. Yang penting bagi mereka adalah tujuan tercapai, mereka tak akan merasa menyesal walaupun melanggar batasan. Sungguh perbuatan mereka ini adalah perbuatan yang sangat tercela sekali. Sepatutnya kebenaran itu diterangkan dengan jelas supaya manusia selamat dan sampai ke tujuan, tetapi mereka pula menyembunyikannya sehingga manusia tersesat dan sengsara.

Didalam ayat ini terdapat pengulangan ayat yang menerangkan perkara yang sama; iaitu mereka mengatakan kepada manusia bahawa apa yang mereka baca itu adalah daripada Al-Kitab tetapi sebenarnya bukan daripada Al-Kitab, lalu diulang sekali lagi bahawa yang mereka baca itu adalah daripada Allah tetapi sebenarnya bukan daripada Allah. Pengulangan ini bertujuan untuk memberi penekanan (taukid) kepada kita bahawa apa yang mereka sampaikan itu adalah kebohongan belaka. Menerima suatu kebohongan adalah kesilapan yang besar dan dalam masa yang sama tidak menghargai akal sihat yang dikurniakan oleh Allah. Dengan dua kali pengulangan daripada Allah didalam ayat ini bererti membawa makna bahawa jangan sekali-kali menerima apa yang mereka sampaikan itu.

Di penghujung ayat disebutkan pula bahawa mereka berdusta terhadap Allah sedangkan mereka mengetahuinya. Maksudnya, mereka betul-betul bersengaja dalam berdusta sebagai jalan untuk mencapai tujuan yang mereka inginkan. Sebenarnya mereka mengetahui kebenaran tetapi mereka tidak mahu menyampaikannya dengan jujur kerana mereka berpendapat bahawa ia boleh menjejaskan kedudukan dan kepentingan mereka sebagai Ahlul-Kitab yang merupakan pemimpin tertinggi agama bagi ramai manusia.

Mereka tidak ingin kehilangan kedudukan, apalagi kedudukan tersebut memberikan peluang yang besar untuk menumpuk kekayaan dengan cara yang salah seperti yang disebutkan didalam Al-Quran, Allah berfirman: ”Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang lain dengan jalan yang batil dan mereka menghalang-halangi (manusia) daripada jalan Allah…” [Q.S. At-Taubah : 34]

Daripada ayat yang kita tafsirkan ini maka umat Islam mesti menyedari bahawa ada diantara manusia mendakwa sesuatu kebenaran daripada Kitab Suci tetapi sebenarnya ia adalah kebohongan yang nyata. Pengukur kebenaran yang sebenarnya pada hari ini hanyalah Al-Quran, kerana ia satu-satunya Kitab Suci yang dipelihara daripada perubahan kata dan makna.(dikutip dari Tafsir Al-Ma'rifah karangan Dr. Musthafa Umar)